Sekiranya kenderaan anda mengalami kemalangan, anda mungkin berhak membuat tuntutan sama ada tuntutan kerosakan sendiri atau tuntutan pihak ketiga bergantung kepada jenis insurans yang anda miliki dan situasi kemalangan. Sekiranya anda memiliki insurans komprehensif dan dalam situasi anda melanggar orang lain, anda berhak menuntuk kerugian ke atas kerosakan anda sendiri dan orang yang anda langgar berhak menuntut kerugian tuntutan pihak ketiga ke atas insurans anda. Sekiranya anda hanya memiliki insurans pihak ketiga dan dalam situasi anda melanggar orang lain, anda tidak berhak menuntuk kerugian ke atas kerosakan anda sendiri tetapi orang yang anda langgar tetap berhak menuntut kerugian tuntutan pihak ketiga ke atas insurans anda.
Bagi tuntutan kerosakan sendiri, hubungi syarikat insurans atau pengendali takaful anda dengan segera untuk mendapatkan nasihat mereka.
Jika syarikat insurans mencadangkan atau menghendaki kerja pembaikan dilakukan di bengkel panel yang diluluskan, hantarlah kenderaan anda seperti yang dinasihatkan. Syarikat insurans atau pengendali takaful berhak menolak tuntutan jika kenderaan tidak dihantar ke bengkel yang diluluskan mereka. Selepas kemalangan dan kerosakan difailkan, syarikat insurans akan menghantar pelaras kerugian untuk menilai kerosakan kenderaan sebelum membenarkan kerja baik pulih dijalankan. Pelaras kerugian bukanlah daripada kakitangan syarikat insurans atau pengendali takaful sebaliknya syarikat luar yang khusus menilai tahap kerosakan sesuatu kemalangan.
