Menurut statistik Kementerian Pengangkutan sehingga 31 Disember 2005 sahaja jumlah kenderaan yang berdaftar di negara ini ialah sebanyak 14,816,407. Itu statistik 2005, hari ini sudah pastilah jumlahnya lebih lagi. Dan salah satu syarat untuk membolehkan kenderaan-kenderaan ini bergerak di jalan raya, setiap kenderaan mestilah mempunyai insurans atau takaful kenderaan yang sah dan masih berkuatkuasa.
Berdasarkan pengalaman saya yang sudah bergiat agak lama di dalam industri ini, saya dapati kebanyakan pemilik kenderaan tidak pernah membaca apa yang terkandung di dalam polisi insurans atau sijil takaful kenderaan mereka dan kalau pernah baca pun mungkin tidak memahami. Ketidakfahaman ini boleh mendatangkan masalah terutamanya apabila berlaku kes-kes tuntutan akibat kemalangan, kecurian dan sebagainya.
Di sini saya akan menerangkan dengan ringkas 5 perkara yang patut diketahui dalam memahami insurans atau takaful kenderaan yang biasa didapati di Malaysia. Ini bukanlah maklumat komprehensif. Maklumat yang detail bolehlah anda dapati melalui polisi insurans / sijil takaful kenderaan anda sendiri.
1. Mengenali jenis-jenis perlindungan: Pihak ke-3 vs. Komprehensif. Untuk perlindungan Pihak ke-3, syarikat insurans akan membayar tuntutan akibat kematian atau kecederaan anggota mana-mana orang (selain daripada anda, pemandu atau penumpang anda) dan kerosakan kepada harta (yang bukan harta sendiri atau keluarga) akibat kemalangan yang berpunca daripada penggunaan Kenderaan Anda.
Manakala Perlindungan Komprehensif pula ialah Perlindungan Pihak ke-3 di atas DAN ditambah dengan pampasan akibat kecurian, kebakaran dan kerosakan disebabkan kemalangan atau dihempap objek jatuh (dengan syarat tidak bersabit dengan banjir, taufan, hurikan, ribut, ribut kencang ataupun konvulsi semula jadi yang lain) kepada kenderaan anda.
Insurans pihak ke-3 memang murah tetapi dengan skop perlindungan yang terhad kepada kepada diri dan harta orang yang kita langgar, amatlah berisiko tinggi untuk kenderaan yang masih di bawah pembiayaan untuk dilindungi di bawah skim ini sahaja. Untuk kenderaan yang masih di bawah pembiayaan, pastikan anda melindunginya di bawah perlindungan insurans komprehensif.
2. Pentingnya melindungi (untuk perlindungan komprehensif) berdasarkan nilai pasaran. Ada dua sebab utama mengapa anda harus ambil tahu keperluan melindungi kenderaan anda mengikut nilai pasaran:
a. Jumlah maksimum syarikat insurans akan bayar apabila berlaku kemalangan atau kehilangan ialah nilai pasaran kenderaan pada masa kerugian, atau jumlah diinsuranskan, mengikut yang mana lebih rendah. Contoh, kalau perlindungan insurans kenderaan anda ialah RM100,000 tapi nilai pasaran kenderaan hanya RM90,000.00, maka sekiranya kenderaan anda dicuri, RM90,000 sahajalah nilai maksimum syarikat insurans akan bayar. Kalau anda masih berhutang RM95,000 dengan bank, maka RM5,000 baki hutang masih tetap anda kena bayar.
Siapa yang menentukan harga pasaran? Nilai pasaran kenderaan akan ditentukan, sekiranya berlaku pertikaian, oleh Pemegang Francais (pengedar / pengeluar model kenderaan) atau Pelaras Kerugian dan nilai ini biasanya sama dengan kos pembelian kenderaan gantian dengan buatan, model dan usia yang sama dengan kenderaan anda pada masa kerugian.
b. Sekiranya kenderaan anda pada masa berlakunya kerugian atau kerosakan, diinsuranskan pada jumlah kurang daripada nilai pasarannya, maka anda akan dianggap sebagai penanggung insurans sendiri bagi perbezaan tersebut dan dikehendaki menanggung perkadaran setimpal bagi kerugian itu. Contoh, katakan nilai pasaran kereta anda RM100,000 tetapi anda hanya menginsuranskannya pada kadar RM70,000 iaitu bersamaan dengan 70% nilai pasaran. Sekiranya berlaku kemalangan dan jumlah bil pembaikan daripada bengkel yang dituntut kepada syarikat insurans ialah RM20,000, syarikat insuran akan hanya membayar 70% bil itu dan 30% lagi (RM6,000) anda yang harus menanggungnya.
3. Insurans kenderaan TIDAK membayar untuk kecederaan pemandu dan penumpang sendiri. Maksudnya di sini ialah insurans kenderaan anda tidak akan membayar bil rawatan kecederaan anda dan penumpang-penumpang anda TETAPI akan hanya membayar bil rawatan kecederaan pihak ke-3 sahaja (orang yang anda langgar). Anda boleh atasi kekurangan perlindungan ini dengan menambah perlindungan Kemalangan Diri untuk Kenderaan Bermotor yang boleh didapati dengan tambahan sumbangan yang minimal. Hubungi TakafulForAll.com untuk maklumat lanjut.
4. Insuran kenderaan TIDAK membayar kerosakan akibat Banjir, Taufan, Hurikan, Ribut, Ribut Kencang, Letusan Gunung Berapi, Gempa Bumi, Tanah Runtuh, Gelinciran Tanah, Penurunan atau Tenggelaman Tanah ataupun Konvulsi semulajadi lain. Anda boleh atasi kekurangan perlindungan ini dengan menambah perlindungan Peril Tambahan yang boleh didapati dengan tambahan sumbangan yang minimal. Hubungi TakafulForAll.com untuk maklumat lanjut.
5. Tambahan perlindungan cermin pecah
Selain daripada perkara-perkara di atas anda juga boleh mendapatkan perlindungan tambahan (dengan sumbangan yang minimal) melindungi kos mengganti atau membaiki kaca cermin depan / belakang, tingkap atau tingkap bumbung termasuk filem salutan / mewarna, jika ada. Yang menariknya ialah mana-mana tuntutan dibuat di bawah perlindungan tambahan ini tidak akan menjejaskan Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD). Hubungi TakafulForAll.com untuk maklumat lanjut.
