Saya tulis artikel ini pada Februari 2001. Mungkin ada yang masih relevan.
—
Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini kita selalu mendapat berita yang menggembirakan tentang kelahiran anak-anak yang insyaallah akan mewarisi kita dan menerajui masa depan agama, bangsa dan negara. Memang pada jangka umur seperti kita ini, kebanyakan orang sudah pun mempunyai keluarga yang lengkap.
Sudah tentu dengan segala sumber yang ada kita berhasrat untuk memberikan segala yang terbaik dan termampu untuk keluarga dan anak-anak baik dari segi makan-pakainya mahupun dari segi pendidikan. Kita sudah tentu tidak mahu segala susah payah seperti yang pernah kita lalui di masa lampau dialami dan dilalui pula oleh anak-anak.
Walaupun dahulu kita mungkin asalnya dari keluarga yang agak sederhana (seperti saya juga), alhamdulillah, dapat juga kita merasa peluang melanjutkan pelajaran dan menaikkan taraf diri dan keluarga hasil dari proses pendidikan yang telah kita lalui dengan bantuan dana biasiswa atau pinjaman baik dari MARA, JPA, Petronas dsb.
Walaubagaimanapun, perkembangan mutakhir ini dengan dasar pengkorporatan universiti awam dan percambahan bak cendawan universiti dan kolej swasta, kita tidak dapat tidak harus bimbang dan prihatin tentang bagaimana pula kita nanti hendak mencari dana membiayai pengajian anak-anak kita pada masa hadapan.
Saya tidak yakin anak-anak kita nanti akan mempunyai peluang yang sama seperti kita dahulu dari segi sumber dana pendidikan tinggi. Kita dulu, dapat SPM bagus, insyaAllah boleh dapat masuk universiti sama ada ‘local’ atau ‘overseas’ dengan dana yang agak terjamin daripada penganjur-penganjur yang saya sebutkan di atas. Ibubapa di masa itu boleh hantar anak dengan tangan kosong (atau minimal) kerana sumber dana tidak perlu dirisaukan. Sekarang ini, kejayaan dalam SPM dengan 10A pun belum tentu menjamin biasiswa bahkan pinjaman PTPTN belum tentu boleh diharap.
Maka, mahu tidak mahu kita sebagai ibubapa yang mempunyai anak-anak yang masih kecil ini harus melakukan sesuatu mulai sekarang untuk memastikan bila tiba masanya nanti tidaklah menggelabah kita mencari-cari atau turun-naik bank untuk mencari dana bagi memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan tinggi yang sebaiknya.
Di Nightline TV3 beberapa hari lepas (29/1/01) saya mendengar yang kerajaan mahukan universiti-universiti awam mencari dana sendiri tanpa perlu mengharapkan bantuan besar dari kerajaan. Yang saya dapat ‘foresee’ daripada berita ini ialah kemungkinan akan naiknya yuran universiti-universiti berkenaan.
Jadi, bagaimanakah harus kita lakukan untuk memastikan anak-anak kita terjamin mencecah menara gading bagaimana juapun kedudukan PTPTN atau kerajaan pada masa itu? Jawapannya bergantung kepada anda.
“If you think education is expensive, try ignorance.” – Derek Bok
